YBhg. Dato’ LSr. Dr. Haji Wan Muhd Aminuddin bin Wan Hussin
(Ketua Pengawai Eksekutif Kumpulan / Merangkap Pengarah Eksekutif KGT)
Segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT, Tuhan yang memiliki seluruh langit dan bumi serta segala isinya. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, pembawa rahmat kepada seluruh alam yang telah memberi pedoman untuk kita terus beribadah danmemikul amanah yang dipertanggungjawabkan.
Bagi pihak Kelantan Gold Trade Sdn. Bhd. (KGT), saya ingin mengucapkan selamat datang dan terima kasih kepada para pengunjung yang melayari portal rasmi ini untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan KGT.
Setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan diucapkan kepada seluruh warga kerja KGT atas
inisiatif menyediakan portal rasmi ini selaras dengan kemajuan teknologi masa kini. Portal ini memudahkan pelanggan mengakses pelbagai maklumat berkenaan KGT serta Dinar dan Dirham Kelantan secara dalam talian pada bila-bila masa dan di mana jua, sama ada melalui peranti mudah alih mahupun komputer. Kemudahan ini memberi manfaat besar kepada pelanggan kerana ia bersifat cepat, tepat, mesra pengguna dan mudah diakses.
Sebagai sebuah syarikat milik penuh kerajaan negeri Kelantan, KGT kekal komited dalam melaksanakan tanggungjawab memartabatkan penggunaan Dinar dan Dirham bukan sahaja sebagai instrumen simpanan dan pelaburan jangka masa panjang, tetapi juga sebagai asas
dalam sistem muamalat berteraskan syariah. Berpaksikan nilai-nilai Islam, kami sentiasa memastikan setiap urusan perniagaan dijalankan berlandaskan prinsip keadilan, ketelusan, kecekapan dan integriti.
Alhamdulillah sejak penubuhannya, KGT telah mencapai pelbagai kejayaan. Kami akan terus berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan dan kualiti kerja agar setiap inisiatif yang dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya, seiring dengan visi dan misi syarikat. Pada tahun 2024, KGT telah memperkenalkan program simpanan emas secara dalam talian melalui portal ednd.my. Portal ini akan memberi kemudahan kepada pengguna membuat Tabungan masa hadapan dengan tiga portfolio tabungan iaitu emas tulen 24K, Dinar Emas Kelantan 917 dan Dirham perak 999.
Akhir kata, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan kepercayaan, sokongan dan kerjasama kepada KGT termasuk warga kerja yang berdedikasi dalam menjayakan setiap tanggungjawab yang diamanahkan. Saya berharap KGT akan terus menerajui usaha memartabatkan Dinar dan Dirham sebagai satu sistem ekonomi alternatif yang sah dan berlandaskan syariah di negeri Kelantan
Semoga laman portal ini menjadi platform interaksi yang efektif antara KGT dan para pelanggan khususnya rakyat negeri Kelantan.
Selamat melayari portal rasmi KGT.
Sekian, Terima Kasih