8 Jun 2024, Subang Jaya – Majlis menandatangani perjanjian kerjasama industri di antara Kelantan Gold Trade Sdn Bhd dan KOPUTRA telah diadakan sempena Mesyuarat Agong Perwakilan Tahunan Ke-38 Koputra – Koperasi Pelaburan Kakitangan Bank Muamalat Malaysia Berhad yang bertempat di Summit Hotel Usj, Subang.
Perjanjian ini telah ditandatangani oleh Tuan Haji Abdul Rashid Mohd Yusoff selaku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Menteri Besar Kelantan Merangkap Pengarah Eksekutif Kelantan Gold Trade Sdn Bhd dan Tuan Haji Zaharuddin Bin Alias selaku Pengerusi KOPUTRA dengan disaksikan oleh Datuk Seri Dr Haji Abdul Fatah Haji Abdullah selaku Presiden ANGKASA dan En Najahuddin Fuad Yusoff selaku Pengurus Kelantan Gold Trade.
Antara Intipati utama kerjasama yang termetrai ini adalah dengan menjadikan cawangan Ar Rahnu KOPUTRA menjadi ar rahnu pajak gadai Islam yang pertama dan satu-satunya di Malaysia yang menerima gadaian bagi produk Dirham Kelantan (Perak). Selain itu, premis cawangan Ar Rahnu di bawah kelolaan KOPUTRA juga akan menyediakan perkhidmatan kaunter (jualan dan belian balik) bagi semua produk Dinar Dirham Negeri Kelantan. Ini akan membantu lebih ramai masyarakat sekitar untuk mendapatkan produk dinar dirham Kelantan secara terus melalui kaunter Ar Rahnu KOPUTRA.
Sehubungan dengan itu, kerjasama kedua-dua pihak pada kali dilihat bukan sahaja dapat menjadi titik tolak kepada kejayaan kedua-dua pihak malah dapat memeriahkan industri ar rahnu di Malaysia sebagai agensi pemula yang menerima produk Perak (Silver) sebagai produk gadaian di Malaysia.