SOLUSI BERSAMA DR SALMI

GAGASAN MENGEMBALIKAN WANG EMAS DALAM SISTEM MONETARI

Perkembangan sistem mata wang dunia telah memperlihatkan evolusi perubahan sistem kewangan berdasarkan keperluan sesebuah zaman dan juga menyaksikan ketamakan manusia dalam mengejar kuasa dan kemewahan dunia. Bermula dengan sistem mata wang dwi logam (bimatellic), sistem piawaian emas (gold standard), sistem Bretton Woods sehinggalah kepada sistem mata wang apungan. Sejak zaman Rasulullah s.a.w sehingga kejatuhan kerajaan Turki cUthmaniyyah pada tahun 1924, sistem mata wang adalah berasaskan dinar dan dirham. Sepanjang tempoh tersebut, sistem kewangan adalah stabil, adil dan harmoni (Wan Mansor 1983). Selepas itu, dunia mengamalkan sistem piawaian emas (gold standard dan Bretton Woods) yang berlangsung hampir 100 tahun sebelum dihapuskan oleh Presiden Richard Nixon pada tahun 1971 dan membentuk sistem mata wang apungan (wang kertas atau wang fiat tanpa sandaran emas). Sepanjang tempoh sistem berasaskan emas sama ada sistem penggunaan mata wang emas secara fizikal mahupun sebagai sandaran nilai, sistem ekonomi dan kewangan adalah lebih stabil berbanding dengan sistem mata wang apungan (Bordo 1992).
 Sistem mata wang apungan adalah satu sistem yang tidak mempunyai sebarang sandaran komoditi bernilai. Justeru itu, sistem ini dilihat tidak stabil dan mudah dieksploitasi oleh penggiat spekulasi. Kegiatan spekulasi dan sistem riba yang mudah menular dalam sistem apungan menyebabkan berlakunya krisis ekonomi global apabila sistem kewangan dunia menghadapi masalah non-profit loan (NPL) dan penurunan nilai mata wang. Ketidakstabilan mata wang menjadi salah satu penyumbang utama berlakunya krisis ekonomi global. Hal ini dapat dilihat bermula dengan zaman kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 1933 (The Great Depression), krisis peso Mexico pada tahun 1995, krisis kejatuhan nilai mata wang negara-negara Asia (1997/98), krisis rubel di Rusia pada tahun 1998 sehinggalah yang terkini iaitu krisis ekonomi global pada tahun 2008. Krisis ekonomi ini berlaku kerana wujudnya ketidakstabilan nilai mata wang fiat yang diguna pakai dalam sistem ekonomi dunia. Mata wang dunia hari ini rata-rata bersandarkan kepada dolar Amerika Syarikat dan nilai dolar akan berubah mengikut perubahan kadar inflasi dan perlakuan spekulasi yang berlaku dalam pasaran wang. Seterusnya, keadaan sebegini akan mempengaruhi jumlah permintaan dan penawaran dolar (Salmy Edawati et al. 2009).
Ketidakstabilan dan susut nilai mata wang kertas dapat dilihat apabila dolar Amerika Syarikat (AS$) telah kehilangan 95 peratus daripada nilainya sejak 1913 (Thumb Charts 2010). Wang kertas akan sentiasa susut nilai kerana berlaku percetakan dan pengeluaran tanpa had. Keadaan ini mula terasa pada tahun 1933 apabila rakyat Amerika Syarikat tidak dapat menukar dolar kepada emas pada nilai AS$20 dengan satu auns emas, walhal nilai ini telah ditetapkan oleh Amerika Syarikat sendiri pada masa itu. Perkara yang sama juga berlaku pada tahun 1971 apabila masyarakat luar dari Amerika Syarikat tidak dapat menebus emas dengan nilai AS$35/auns emas. Jika dibandingkan dengan tahun 2008, susut nilai dolar AS lebih jelas dengan nilai AS$ 1,255.30/auns emas (kitco.com  28 Mac 2017). Maka, tidak hairanlah apabila berlakunya krisis mata wang Asia yang teruk pada tahun 1997 ekoran lambakan dolar AS ke atas mata wang negara-negara Asia yang mengakibatkan ringgit Malaysia susut nilai sebanyak 65 peratus dan pada waktu yang sama rupiah Indonesia susut nilai sebanyak 620% (Zuhaimy 2004). Oleh yang demikian, cadangan mengembalikan penggunaan dinar emas sebagai mata wang merupakan satu alternatif dalam mengawal ketidakstabilan nilai mata wang. Ini kerana emas merupakan real money yang mempunyai kadar kestabilan yang lebih terjamin tanpa dipengaruhi oleh undang-undang permintaan dan penawaran (law of demand and supply) (Lewis 2007), bebas dari inflasi, riba, gharar (keraguan), maysir (perjudian) dan unsur-unsur spekulatif lain (Salmy Edawati et al. 2009).
Justeru, sehingga kini sudah terdapat beberapa cadangan untuk mengembalikan penggunaan semula sistem mata wang yang berasaskan emas atau dinar emas. Dinar emas mula digunakan pada zaman Rom dan Parsi dengan nama denarius. Penggunaannya meluas sehingga ke tanah Arab dan telah diguna pakai oleh Rasulullah s.a.w, zaman Khulafa’ al-Rashidin dan zaman-zaman selepas itu sehingga ke zaman cUthmaniyyah. Nama dinar di ambil sempena nama mata wang emas Rom denarius, orang arab memanggilnya ‘dinar’. Dinar dan dirham Islam pertama juga telah diperkenalkan pada zaman tersebut iaitu sewaktu pemerintahan khalifah cAbd al-Malik bin Marwan. Matlamat utama khalifah cAbd al-Malik bin Marwan mengeluarkan mata wang Islam adalah untuk membentuk identiti Muslim dan sekali gus sebagai penguat ekonomi umat Islam. Dinar emas Islam adalah syiling emas berbentuk bulat yang mempunyai berat 4.25 gram dengan menggunakan emas 917 dan 24 karat. Jenis dan berat ini disebut sebagai timbangan syarak yang telah disepakati oleh para fukaha pada masa itu. Oleh sebab itulah, dinar emas dikaitkan sebagai mata wang umat Islam dan disebut sebagai mata wang syarci atau mata wang  Islam pada hari ini.
Usaha mengembalikan semula penggunaan dinar emas, secara tidak langsung telah dimulai dengan Pertubuhan Islam Murabitun di bawah pimpinan cAbd al-Qadir al-Murabit. Seterusnya, usaha ini telah mendapat perhatian Perdana Menteri Malaysia pada masa itu iaitu Tun Dr Mahathir Muhammad. Beberapa usaha ke arah pelaksanaan dinar emas seperti membentuk satu mekanisme perdagangan menggunakan dinar emas telah dicadangkan sewaktu era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohammad. Beliau telah mencadangkan mekanisme tersebut di dalam Persidangan Negara-negara Islam Sedunia atau Organisation Islamic Council (OIC) pada tahun 2003. Usaha dan idea berkaitan dinar emas dipandang positif oleh sebahagian negara OIC namun, mekanisme tersebut dianggap gagal apabila sesetengah negara-negara OIC kurang yakin dan tidak percaya dengan dinar emas, tambahan pula pada masa itu terdapat masalah ketidakstabilan politik dan ekonomi di beberapa buah negara OIC (Mahathir 2005).
Walau bagaimanapun, bermula dengan cetusan idea Tun Dr Mahathir ini telah memberi kesan yang positif kepada kerajaan dan segelintir masyarakat Malaysia. Kesedaran tentang dinar emas ini telah menghasilkan pelbagai usaha dan penggunaan dinar emas di Malaysia. Sehingga ke hari ini, Malaysia telah memiliki 4 agensi penempaan dinar emas iaitu Islamic Mint (Islamic Gold Dinar), Royal Mint (Dinar Emas Royal Mint), Kelantan Golden Trade (Dinar Emas Kelantan), Public Gold Fine Sdn Bhd (Dinar Public) dan yang terkini Kerajaan Negeri Kedah (Dinar Emas Mucazam Shah). Kualiti emas, berat dan saiz dinar adalah mengikut piawaian cUmar al-Khattab sepertimana  dinar emas pertama yang dikeluarkan oleh Khalifah cAbd al-Malik bin Marwan. Semua dinar yang ditempa di Malaysia adalah mengikuti piawaian yang sama. Ukiran di atas permukaan syiling yang membezakan antara dinar-dinar tersebut.
Rentetan daripada usaha memartabatkan kembali penggunaan dinar emas tersebut maka, telah wujud beberapa kumpulan aktivis dinar emas. Aktivis-aktivis dinar emas dapat dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu kumpulan Murabitun, NGO (Non Government Organisation) dan ahli akademik. Kumpulan Murabitun merupakan aktivis dinar emas terawal di Malaysia. Agenda kumpulan ini adalah untuk memartabatkan penggunaan dinar emas sebagai mata wang, dan berpegang kepada hujah di dalam kitab al-Muwatta’. Manakala golongan NGO pula mempunyai visi untuk mempertahankan berat dinar yang digunakan pada zaman Nabi Muhammad s.a.w iaitu 4.50 gram, sekali gus mempertikaikan nisab zakat emas pada masa ini. Manakala golongan akademik pula muncul untuk mengkaji kesesuaian pengembalian semula penggunaan emas dalam sistem kewangan semasa. Golongan akademik dilihat lebih liberal apabila setiap isu yang dikupas adalah berdasarkan data, bukti sejarah dan melalui kajian empirikal.
Sehingga kini terdapat dua bentuk cadangan penggunaan dinar emas dalam sistem kewangan. Bentuk-bentuk cadangan tersebut adalah; penggunaan fizikal dinar emas atau syiling dinar emas sebagai mata wang. Cadangan ini telah diutarakan oleh  al-Maqrizi (1957), Vadillo (2002), Zaim Saidi (2005), Hosein (2008), Dahinden (2008), Muhaimin Iqbal (2009), Nik Mahani (2009) dan Wan Kamal (2009). Manakala, satu lagi cadangan adalah dengan menjadikan dinar emas sebagai sandaran nilai ke atas mata wang. Cadangan ini pula telah dikemukakan oleh Mahathir (2002), Nor Mohamed (2002), Ahamed Kameel (2002; 2003), Mohammad Kabir & Choudhury (2002), Bordo (1992), Mundell (1997), Sanep (2009) dan Choudhury (2010), Zoelick (2010).

Emas sebagai Sandaran Nilai

Idea dan cadangan penggunaan emas sebagai sandaran nilai telah diperhalusi oleh beberapa ahli ekonomi, antaranya ialah Sanep (2009),  Dahinden (2008), Muhammad Nasri & Ishak (2004) dan Ahamed Kameel (2002).
Kebanyakan ahli ekonomi berpandangan bahawa mata wang yang disandarkan dengan nilai emas adalah lebih praktikal dalam sistem monetari sekarang berbanding dengan penggunaan fizikal wang emas. Teori OCA (Optimum Currency Area) juga perlu dipegang sebagai teori asas yang diperlukan bagi mengenal pasti negara-negara yang sesuai untuk mengamalkan sistem dinar emas (Sanep 2009).
Sistem e-dinar adalah salah satu contoh sandaran emas yang telah dipraktikan. E-dinar ialah satu sistem pembayaran dan pertukaran elektronik menerusi internet. E-dinar beroperasi dalam e-dagang yang mana urusan jual beli online dilakukan dalam nilai emas dan perak. Istimewanya sistem e-dinar kerana ia disokong oleh seratus peratus emas dan perak fizikal.  Unit yang digunakan ialah e-dinar dan e-dirham. Fizikal emas dan perak yang menyokong unit-unit e-dinar dan e-dirham ini akan sentiasa sama nilai atau lebih daripada unit-unit e-dinar dan e-dirham dalam edaran. Setiap unit elektronik e-dinar bersamaan dengan berat tepat dan tetap 4.25 gram emas tulen 24 karat.  Kelebihan  sistem e-dinar  ialah (Dahinden 2008):
a)    Satu sistem pembayaran dan pertukaran yang halal dan dibentuk mengikut kehendak syariah.
b)    Nilai e-dinar dan dirham disokong seratus peratus dengan nilai fizikal emas dan perak.
c)    Yuran yang dikenakan hanya satu peratus dari jumlah transaksi tetapi maksimum 0.015 (-1.90 AS$) bagi transaksi e-dinar dan maksimum untuk dirham adalah 0.5 (0.88 AS$) bagi e-dirham.
d)    Pembayaran segera tanpa penangguhan dan berlaku pada masa yang sebenar (real time) secara terus tanpa melibatkan institusi perbankan ataupun orang tengah.
e)    Pemegang akaun e-dinar diberi pilihan sama ada untuk menukarkan e-dinar dan e-dirham dalam bentuk mata wang kertas ataupun ditukar dengan fizikal emas
f)    Nilai aset yang terjamin tanpa ada risiko susut nilai.
Inovasi baru penggunaan dinar emas ini adalah untuk mengelakkan pegangan emas ke merata tempat, dan sekali gus untuk kemudahan dan keselamatan pengguna. Namun, penggunaan sistem e-dinar masih juga mempunyai beberapa kelemahan apabila sistem ini hanya beroperasi secara online. Justeru itu, transaksi jual beli dengan dinar emas adalah melalui internet dan hanya syarikat atau kedai yang berdaftar dalam e-dinar sahaja yang terlibat dalam transaksi ini (Ahamed Kameel 2002). Oleh itu, pelanggan tidak mempunyai banyak pilihan dalam mendapatkan barangan keperluan harian.   
Selain itu terdapat cadangan penggunaan kad pintar dalam e-dinar. Penggunaan kad pintar yang dicadangkan ini adalah sebagai alat penggunaan harian. Nilai yang terdapat dalam kad pintar adalah mewakili nilai dinar emas yang dimiliki di dalam akaun e-dinar. Pengguna hanya perlu membawa kad pintar atau kad debit ini untuk menjalankan urus niaga harian. Kad pintar ini berperanan seperti wang kertas pada hari ini cuma bezanya ia mempunyai sokongan emas fizikal di dalam bank. Cadangan ini lebih relevan dengan keadaan ekonomi semasa kerana tidak memerlukan pegangan emas fizikal. Namun, sokongan emas seratus peratus di dalam bank adalah tidak memungkinkan kecukupan bekalan emas yang terdapat  pada hari ini (Muhammad Nasri & Ishak 2004). Di samping itu juga, mekanisme penggunaan kad pintar e-dinar ini perlu diperhalusi kerana pelaksanaannya sebagai wakil mata wang adalah rumit dan memerlukan sokongan banyak pihak. 
Rentetan daripada kelemahan e-dinar maka, pada tahun 2009  telah wujud satu sistem yang disebut sebagai Sistem Web Dinar. Sistem ini merupakan satu sistem perdagangan online yang menggunakan kaedah pembayaran melalui kad dinar emas dan menetapkan nilai dinar emas dalam transaksi pembayaran. Matlamat utama pembangunan sistem ini adalah untuk mewujudkan satu sistem perdagangan secara online yang mengikut prinsip syariah dengan mempromosi penggunaan mata wang Islam iaitu dinar emas sebagai satu transaksi yang halal (Web Dinar 2009). Sistem Web Dinar ini mempunyai lima cabang utama iaitu:
a)    Portal D2D (dinar2dinar.com)
b)    Kad dinar sebagai pendaftaran ahli (golddinarcard.com)
c)    Mata wang dinar emas dan untuk isian semula nilai atau top up (golddinarmoney.com)
d)    Kad pembayaran dinar yang menentu sahkan bayaran (dinarpay.com)
e)    Bank pembayaran dinar (dinarsettlementbank.com)
Sebagai permulaan dalam melaksanakan sistem ini, kad dinar emas Islam (IGD) akan ditawarkan kepada pelanggan Bank Islam. Keunikan kad ini adalah; transaksi kad mengikut prinsip syariah dan tidak akan mewujudkan inflasi, manipulasi dan spekulasi. Penggunaan kad IGD adalah untuk barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan di bawah Bank Islam dan akan memberi faedah kepada kedua-dua pihak iaitu bank dan pemegang kad. Nilai kad ini boleh digunakan sama ada untuk pembelian barangan dan perkhidmatan Islam ataupun untuk mengekalkannya sebagai satu pelaburan. Ini kerana nilai emas tidak sama dengan nilai mata wang kertas yang tidak akan susut nilai dengan inflasi.  Di samping itu juga, pelanggan (depositor) Bank Islam akan ditawarkan kad IGD sebagai satu alternatif pembayaran untuk menunaikan haji di Mekah. Walaupun sistem ini dijangka beroperasi pada tahun 2010 namun, sehingga kini masih belum dapat dilaksanakan. Beberapa masalah yang dikenal pasti menjadi penghalang dalam pelaksanaan sistem tersebut, antaranya adalah; kelulusan daripada kerajaan, bekalan emas, persetujuan pihak perbankan, pengawasan keselamatan sistem online dan kepercayaan masyarakat. 
Selain itu, terdapat juga cadangan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad supaya dinar emas digunakan dalam perdagangan antarabangsa  melalui Sistem Pembayaran Dua Hala atau Bileteral Payement Arrangement (BPA) dan Pelbagai Hala atau Multiple Payement Arrangement (MPA). Sebelum ini Malaysia telah menandatangani perjanjian BPA dengan 24 buah negara dan berhasrat dapat menggunakan konsep dinar emas dengan ke semua negara tersebut. Tan Sri Nor Mohamed Yakcop selaku Menteri Kewangan II Malaysia pada masa itu telah diamanahkan untuk mengetuai misi ini. Penggunaan dinar emas dalam BPA melibatkan perdagangan antara dua negara, dan terdapat tiga buah negara yang berminat dan bersetuju untuk berdagang dengan Malaysia melalui penggunaan dinar emas iaitu Iran, Bahrain dan Sudan (Anon. 2002a).
Menurut kertas kerja yang dibentangkan oleh Tan Sri Nor Mohamed Yakcop pada tahun 2002, memperlihatkan proses pelaksanaan BPA adalah melibatkan dua buah negara yang bersetuju menjalankan urusan import eksport. Perbezaan jumlah eksport dan import antara negara inilah yang akan dinilai dalam dinar emas. Sebagai contoh; syarikat A di Malaysia mengeksport getah ke syarikat C di Arab Saudi sebanyak satu juta dolar AS. Syarikat C akan membuat pembayaran dalam bentuk rial kepada Bank pusat Arab Saudi dan bank pusat menukarkannya dalam bentuk dolar AS untuk dibayar kepada bank pusat Malaysia. Syarikat A akan menerima bayaran tersebut dalam ringgit Malaysia daripada Bank Negara Malaysia (BNM).
Begitu juga sebaliknya apabila Syarikat B dari Malaysia mengimport minyak mentah daripada syarikat D di Arab Saudi sebanyak 500,000 dolar AS. Masing-masing akan membuat dan menerima bayaran dalam bentuk mata wang negara masing-masing. Perkembangan perdagangan akan dinilai tiga bulan sekali. Selepas tiga bulan Arab Saudi berhutang dengan Malaysia sebanyak 500,000 dolar AS. Maka, di sinilah peranan dinar emas di mana penjelasan baki tersebut akan dinilai dalam dinar (mengikut harga emas semasa). Penjelasan ini akan dibuat di Bank of England yang berperanan memindahkan jumlah tersebut daripada akaun simpanan emas Arab Saudi ke akaun simpanan emas Malaysia sebanyak nilai dinar yang bersamaan 500,000 dolar AS tadi.
Kaedah ini dan menganggap sebagai satu sistem yang adil kerana lebihan nilai dagangan dinilai dengan harga semasa emas yang lebih stabil berbanding wang fiat dan ini tidak akan merugikan mana-mana negara. Sistem tersebut akan menjadi satu alternatif untuk menghapuskan kebergantungan kepada dolar AS dalam perdagangan antarabangsa dan ini akan memberi kelebihan kepada negara-negara kecil. Semua negara boleh menyertai sistem ini walaupun tidak mempunyai simpanan dinar yang banyak (Hasanudden 2005; Ahamed Kameel 2002).
Sistem BPA praktikal untuk dilaksanakan dengan menggunakan dinar emas kerana ia menguruskan transaksi dalam skala besar antara pengeksport dengan pengimport. Barang-barang yang diimport oleh pengimport akan dijual dalam negara kepada pengguna akhir. Seterusnya, pemborong dan peruncit boleh membeli daripada pengimport ini dan mereka tidak berurusan menggunakan mata wang emas tetapi dalam mata wang tempatan sebelum barangan tersebut diedarkan kepada pengguna. Sekiranya penggunaan e-dinar dalam e-commerce mendapat sambutan masyarakat umum, maka tidak mustahil sistem pembayaran elektronik yang menggunakan emas sebagai nilaian mata wang akan menjadi realiti dalam sistem perdagangan antarabangsa. Beliau juga menyatakan ciri-ciri sistem BPA yang menggunakan dinar emas iaitu (Noradli Ridzwan Shah  et al. 2004):
a)    Pengimport dan pengeksport diawasi oleh bank pusat.
b)    Pengimport dan pengeksport boleh menggunakan kemudahan bank untuk menguruskan urus niaga mereka.
c)    Tidak menggunakan fizikal emas sebagai pemindahan baki, hanya jika perlu sahaja.
d)    Tiada kerugian dalam pertukaran dan risiko mata wang.
e)    Pelaksanaannya hampir sama dengan BPA biasa cuma ia menggunakan nilaian emas.
f)    Ia dibentuk mengikut prinsip syariah.
g)    Sesuai kepada pengimport dan pengeksport besar dalam pasaran.
h)    Mengadakan hubungan dengan pasaran bebas dan meluaskan jaringan perdagangan serta meningkatkan hubungan kerjasama dengan pihak bank.
i)    Jaminan bayaran oleh pengeksport dalam ringgit tanpa ada risiko hutang.
j)    Mengurangkan kos transaksi dan mempromosi kerjasama ekonomi antara negara.
Namun, sehingga sekarang sistem ini masih belum dapat dilaksanakan walaupun pernah dihebohkan pelaksanaannya sudah bermula pada Oktober 2003.  Sistem ini tidak dapat dijalankan kerana negara-negara OIC masih belum bersedia dan tiada keyakinan untuk menggunakan dinar emas dalam perdagangan.  Terdapat tiga  faktor penting yang menghalang negara-negara OIC memberi kerjasama dalam hal ini iaitu terdapat perbezaan keadaan ekonomi antara negara, pergolakan politik dan kemudahan infrastruktur yang terhad dan hanya empat negara sahaja yang menunjukkan minat kepada penggunaan dinar emas iaitu Malaysia, Iran, Bahrain dan Sudan. Mata wang dwi sistem akan digunakan sekiranya empat buah negara tersebut mengadakan perdagangan dengan negara yang tidak menggunakan dinar emas. Kegagalan penggunaan dinar emas dalam perdagangan antarabangsa juga disebabkan masyarakat sudah sebati dengan sistem sedia ada dan sukar untuk menerima mata wang dalam bentuk emas dan perak (Mahathir 2005).
Kesimpulan
Secara umumnya, usaha memartabatkan kembali mata wang emas dalam sistem kewangan adalah bertepatan dengan seruan syarak dalam mencari keadilan, kemurnian dan kestabilan sistem kewangan dan ekonomi. Kestabilan nilai emas lebih menyerlah kerana emas mempunyai nilai intrinsik dan tidak boleh di spekulasi dan di manipulasi sewenang-wenangnya oleh pihak-pihak lain berbeza dengan logam lain mahupun wang kertas. Oleh itu, timbulnya keperluan di sini bagi mendalami dan memahami kaedah dan strategi yang sesuai untuk memartabatkan kembali penggunaan dinar dan dirham dalam ekonomi semasa.

Emas Fizikal Sebagai Mata Wang

Kajian paling awal mengenai penggunaan fizikal dinar emas telah dilakukan oleh al-Maqrizi (1957) pada zaman kerajaan Mamluk. Manakala, selepas itu terdapat beberapa kajian lain yang telah dilakukan, antaranya ialah kajian oleh Vadillo (2002), Ahamad Kameel (2002), Nuradli Ridzwan Shah (2003), Zuhaimy (2003), Muhammad Nasri & Azizi (2004) dan Hosein (2008).
Idea dan cadangan untuk mengembalikan penggunaan dinar emas dalam sistem kewangan bukanlah perkara baru kerana al-Maqrizi (1957) dalam bukunya  Ighathah al-‘Ummah bi Kashfi al-Ghummah dengan jelas menyentuh mata wang umat Islam adalah daripada emas dan perak. Beliau yang pernah hidup di zaman Mamluk menyaksikan dengan jelas permasalahan dalam sistem kewangan apabila negaranya dilanda inflasi yang teruk akibat percetakan tembaga secara berleluasa sebagai mata wang pecah (fulus). al-Maqrizi (1957) menegaskan bahawa penggunaan dinar emas fizikal sebagai mata wang boleh mengelak inflasi. Mata wang tembaga pada masa itu boleh mewujudkan inflasi kerana tembaga mudah dicipta dan dihasilkan berbeza dengan mata wang emas dan perak. Justeru itu, al-Maqrizi (1957) telah menggariskan tiga perkara utama yang perlu dibangunkan bagi mencapai kestabilan sistem kewangan dan ekonomi dalam sesebuah negara. Tiga perkara tersebut ialah menggunakan emas dan perak sebagai mata wang, mengelakkan pengurangan nilai dalam mata wang (devaluetion) dan mengehadkan percetakan fulus (wang pecah).
    
Kajian al-Maqrizi (1957) berkaitan dengan penghapusan inflasi melalui penggunaan kembali mata wang dinar dan dirham merupakan satu kajian yang bernilai dan amat penting pada masa itu kerana era tersebut merupakan evolusi awal peralihan daripada sistem biametallic (dwilogam) kepada sistem wang kertas. Zaman tersebut juga adalah amat berbeza dengan zaman sekarang yang telah melalui perkembangan ekonomi yang pesat. Oleh itu, timbul persoalan di sini, sejauh manakah penggunaan mata wang emas dan perak boleh mengelak inflasi? Dan adakah penggunaan dinar dan dirham sebagai mata wang bersesuaian dalam sistem ekonomi semasa?
     
Walau bagaimanapun, tidak dinafikan  bahawa krisis mata wang dan inflasi yang berlaku pada zaman sekarang, terutama krisis mata wang pada tahun 1997 adalah keadaan sama yang pernah disebut oleh al-Maqrizi. Krisis mata wang 1997 menyaksikan lambakan mata wang Asia sehingga menjatuhkan nilai mata wang secara mendadak. Menurut Mahathir (2000), krisis mata wang Asia ini berlaku disebabkan serangan spekulatif ke atas mata wang negara-negara Asia melalui kegiatan jualan singkat oleh pedagang-pedagang mata wang. Serangan spekulatif ini telah menjatuhkan nilai mata wang ringgit Malaysia, bath Thailand dan rupiah Indonesia. Rentetan itu, inflasi yang teruk telah berlaku kerana inflasi akan meningkatkan kos pengeluaran dan akan menyebabkan kejatuhan nilai (Jefferson 1977; Harrid 1975).
Rentetan daripada itu, Tun Dr. Mahathir Mohammad selaku Perdana Menteri Malaysia pada masa itu mencadangkan penggunaan kembali dinar emas.  Ini kerana, sistem kewangan dunia semasa gagal menangkis serangan spekulator mata wang sehingga mengakibatkan mata wang di kebanyakan negara termasuk Malaysia jatuh mendadak pada tahun 1998 (Anon. 2002b). Mata wang utama dunia seperti dolar AS dan pounds sterling boleh mempengaruhi mata wang tempatan dan akan menyebabkan ketidakstabilan ekonomi di negara-negara Timur Tengah dan Asia. Oleh itu, Mahathir (2001) berpendapat  dinar emas merupakan satu mekanisme yang penting untuk membantu negara-negara kecil daripada ketidakstabilan dan ketidakadilan dalam sistem ekonomi global. Cadangan Mahathir (2001) hanya menjurus kepada penggunaan dinar emas dalam perdagangan antarabangsa sahaja. Penggunaan dinar emas tersebut adalah lebih kepada nilaian barangan eksport dan import bukan sebagai mata wang.
Cetusan idea dan cadangan Tun Dr. Mahathir itu menjadi titik mula gerakan ke arah penggunaan kembali dinar emas. Vadillo (2002) menganggap usaha ini sebagai petunjuk positif bagi Malaysia dalam melaksanakan dinar emas. Sehubungan dengan itu, terdapat kajian yang dibuat oleh Vadillo pada tahun 2002 dan beliau telah menggariskan empat perkara asas yang perlu dibangunkan bagi menjayakan pelaksanaan dinar emas sebagai mata wang. Empat perkara tersebut adalah; mengeluarkan dan menempa dinar emas dan dirham perak, kebebasan dalam menjual, membeli melalui pantauan undang-undang Islam, kemudahan pengangkutan dan perpindahan emas (antarabangsa) dan menukarkan semua wang kertas dengan mata wang dinar dan dirham.
Walau bagaimanapun, cadangan yang diutarakan oleh Vadillo (2002) ini bercanggahan dengan pandangan Mahathir (2002) dan dilihat tidak relevan dengan keadaan ekonomi semasa apabila mencadangkan penggunaan fizikal dinar emas sebagai mata wang. Ini kerana penghasilan emas tahunan adalah rendah berbanding perkembangan ekonomi semasa yang sememangnya menuntut penempaan dinar emas yang banyak. Di samping itu juga, penghapusan ke semua wang kertas dalam sistem kewangan juga agak sukar untuk dilakukan kerana sistem wang kertas telah mendominasi dunia lebih 100 tahun. Vadillo (2002) juga berpegang bahawa dinar emas merupakan mata wang syarci umat Islam dan wang kertas yang beredar sekarang adalah haram. Persoalannya di sini, adakah dinar emas merupakan mata wang tuntutan dalam Islam? Dan sejauh manakah hukum wang kertas yang digunakan pada hari ini?  
Selepas itu, kajian yang dilakukan oleh Zuhaimy (2003) terhadap mekanisme penggunaan dinar emas sebagai mata wang telah menetapkan tiga perkara asas yang perlu diwujudkan. Tiga perkara tersebut adalah; mewujudnya mata wang dinar dan dirham, menubuhkan pasar Islam, dan membentuk sistem pelaburan Islam. Beliau juga mencadangkan supaya dinar emas dan dirham perak dilaksanakan bersama-sama dengan sistem mata wang sedia ada. Sekiranya ketiga-tiga komponen asas ini dapat diwujudkan barulah penggunaan dinar emas sebagai mata wang dapat dilaksanakan. Kajian ini juga memperlihatkan beberapa kepincangan apabila mencadangkan penggunaan dinar dan dirham serentak dengan penggunaan wang kertas. Sekiranya keadaan sebegini wujud maka akan berlaku teori Gresham’s Law iaitu ‘Bad Money Drive Out Good Money’. Sekiranya Gresham’s Law berlaku, nescaya penggunaan dinar emas sebagai mata wang akan gagal.
Pada tahun 2003, terdapat satu model penggunaan dinar emas sebagai transaksi domestik yang telah dihasilkan oleh Ahmed Kameel (2003). Model ini adalah kembangan daripada penggunaan e-dinar yang diperkenalkan oleh Umar Ibrahim Vadillo dalam tahun 2001. Ahamed Kameel mencadangkan agar penggunaan lebih meluas kepada pusat zakat, Tabung Haji, Amanah Saham Dinar Emas dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Sekiranya badan-badan ini dapat menerima transaksi menggunakan e-dinar sebagaimana penggunaan perbankan internet maka tidak mustahil model ini dapat dibangunkan dengan jayanya dan hampir semua masyarakat Malaysia akan merasai keistimewaan nilai mata wang yang mempunyai sokongan emas. Transaksi maya ini dicadangkan kerana kekangan undang-undang mata wang yang tidak mengizinkan emas dan perak dijadikan mata wang. Walau bagaimanapun, model ini hanya menjurus kepada penggunaan domestik semata-mata dan bukan secara global. Ini menunjukkan bahawa sistem tersebut tidak dapat berkembang dengan meluas.
Gagasan idea penggunaan dinar emas ini juga ditunjukkan oleh Muhammad Nasri & Azizi (2004) apabila menggariskan lapan strategi pelaksanaan dinar emas iaitu; menubuhkan jawatankuasa pemandu perancangan penggunaan dinar emas, menubuhkan jawatankuasa bersama negara-negara pengguna, persetujuan negara-negara pengguna, pembentukan mekanisme pelaksanaan yang seragam, strategi penggunaan dinar emas secara bersepadu (duel system), pembentukan bank pusat dinar emas, pelaksanaan secara bersepadu dan pembentukan mekanisme kawalan dinar emas. Namun, ia dilihat agak umum kerana setiap cadangan yang dibuat tidak disebut huraian dengan terperinci. Mereka hanya mencadangkan sahaja tanpa disertai dengan  mekanisme pelaksanaan dinar emas. Walau bagaimanapun, Muhammad Nasri & Ishak (2004) berpendapat bahawa strategi pembentukan dinar emas adalah sesuai dengan perspektif Islam. Ini kerana, ia boleh menghindari negara-negara Islam daripada penguasaan negara barat yang sering mendapat kentungan daripada globalisasi. Oleh itu, mereka menegaskan bahawa dinar emas sepatutnya mendapat sokongan daripada semua negara Islam dan negara-negara yang membangun kerana ia bersifat global. Penggunaannya juga boleh dilakukan dalam bentuk wang digital seiring dengan teknologi masa kini dan era globalisasi. Mereka juga turut mencadangkan penubuhan bank pusat Islam bagi menyimpan emas-emas sebenar serta kewujudan negara Islam yang cukup kuat bagi menempatkan bank pusat tersebut. Namun, kajian ini hanya menumpu kepada penggabungan negara-negara Islam dalam melaksanakan penggunaan dinar emas. Agenda ini juga dilihat sukar untuk direalisasikan apabila negara-negara Islam tidak semua menepati teori Optimum Currency Area (OCA).
Selain itu terdapat juga cadangan penggunaan dinar emas dan dirham perak dalam pasaran mikro yang terletak di luar kawasan bandar. Penggunaannya secara persendirian di dalam urus niaga harian yang tidak melibatkan institusi perbankan. Contohnya penanam padi di pedalaman Gua Musang, Kelantan akan digerakkan untuk menuntut supaya hasil jualan padi mereka dibayar dengan menggunakan dinar emas. Maka, penduduk setempat perlu memiliki dan menggunakan dinar emas sebagai bayaran untuk mendapatkan beras. Andai kata pembeli enggan membayar dengan dinar emas, petani tersebut akan menjadikan padi mereka sebagai wang dan menggunakannya sebagai bahan pertukaran dalam urusan perniagaan mereka. Penggunaan padi sebagai wang merupakan tindakan sementara dan hanya dapat berfungsi dalam urusan kecil-kecilan sahaja. Cara ini secara tidak langsung akan mendedahkan penduduk pedalaman kepada nilai mata wang sebenar dan seterusnya dapat menerima dinar emas sebagai transaksi harian mereka. Walau bagaimanapun, cadangan dan kajian ini pula dilihat tidak memenuhi kriteria dan teori mata wang kerana fungsinya agak terhad dan dalam kelompok ekonomi yang kecil. Penggunaan dinar emas secara global tidak akan berlaku (Hosein 2008).
    
Indonesia, Afrika Selatan dan Norwich United Kingdom dan dilihat antara negara yang terkehadapan dalam melaksanakan penggunaan dinar dan dirham dalam kolompok masyarakat. Di Indonesia misalnya, sudah terdapat beberapa tempat yang menggunakan dinar dan dirham dalam urus niaga harian seperti di kedai-kedai buku dan pakaian. Terdapat pelbagai wakalah atau syarikat yang mengeluarkan dan mengedar dinar dan dirham seperti; Wakala Syauki, Wakala Adina, Wakala Griya Dinar, Wakala IMN, Wakala Ribat Jakarta, Wakala al-Kautsar MUI Depok, GeraiDinar dan banyak lagi (Zaim 2005).  
Manakala di Cape Town, Afrika Selatan, penduduk Islam di sana mengamalkan cara hidup Islam dengan berusaha menegakkan sistem pelantikan dan pemerintahan khalifah. Sehubungan dengan itu, pelantikan seseorang pemerintah di sana mengikut kelayakan seperti yang telah digariskan pada zaman Khalifah cUthman al-cAffan. Terdapat lima tanggungjawab besar bagi pemerintah Islam di Cape Town, termasuklah mencetak syiling dinar dan dirham dan mengawasi kesesuaiannya dengan ketetapan syariah. Piawaian yang digunakan adalah sama dengan piawaian yang telah ditetapkan oleh Khalifah cUmar bin al-Khattab iaitu satu keping dinar emas seberat 4.25gram 22 karat dan dirham seberat 3 gram perak. Syiling dinar dan dirham yang digunakan di Cape Town adalah daripada keluaran Islamic Mint. Pengamalan penggunaan mata wang dinar dan dirham telah lama berlangsung di Cape Town dan berterusan sehingga ke hari ini (Salmy Edawati & Sanep 2009). Kebiasaannya ia di amalkan oleh golongan Murabitun yang dipimpin oleh Syeikh al-Sufi cAbd al-Qadir al-Murabit.
 Penduduk Islam di Norwich, United Kingdom pula telah lama mempraktikkan penggunaan unit mata wang dinar dan dirham sebagai transaksi dalam urus niaga harian mereka. Sebelum ini hanya sekelompok kecil sahaja yang mengamalkannya di pasar bebas mingguan. Namun, bermula bulan Mei 2009 mereka telah memperkenalkan satu  pasar berasakan ‘Hubungan Perdagangan Terbuka’. Matlamat utama perdagangan ini adalah untuk mempromosi satu model alternatif perdagangan bebas. Pasar bebas ini merupakan satu amalan yang amat bermakna kepada umat Islam khasnya apabila unit dinar dan dirham dipraktikkan dalam keadaan sebenar dan kelebihan dinar dirham akan dapat dirasakan. Contohnya pemilik gerai minuman, secara peribadinya dia memperoleh sekitar €40 perak dalam pertukaran untuk kopi dalam tempoh dua hari tersebut. Namun, selepas minggu tersebut dia memperoleh sekitar nilai €100 pertukaran syiling perak untuk digunakan dalam pasar biasa. Maka, tidak hairanlah penduduk Islam di Norwich ramai yang menyimpan dinar dan dirham sebagai aset mereka.  Menurut Morisson (2009) lagi, pasar bebas ini akan dapat diperluaskan sehingga ke negara-negara Eropah lain di sekitarnya.
Malaysia juga tidak ketinggalan dalam menggunakan dinar dan dirham dalam transaksi harian. Terdapat beberapa tempat yang telah dikenalpasti menggunakan dinar dan dirham adalah seperti  Pasar Besar Siti Khadijah di bandar Kota Bharu Kelantan, Kedai Emas W.N Haji Wan Ahmad di Shah Alam, Restoran dan Cafe Nasi Kukus House di Bangi dan Klinik Pergigian Dr. Rosni Adam di Cheras, Selangor (Mohd Mazli 2010).  Keadaan ini membuktikan bahawa penggunaan fizikal dinar emas telah diterima pakai oleh segelintir masyarakat dunia dalam tempoh yang lama. Segelintir masyarakat ini telah mengamalkan penggunaan dinar emas dalam kelompok yang kecil atau dalam kumpulan atau komuniti tertentu.